Tuesday, November 17, 2009

Pemuda Islam : Mari kita Muhasabah.




Saidina Ali ra, Mus’ab Bin Umair, Imam As-Syafie, Umar Abdul Aziz, Sultan Muhammad Al-Fateh, Salahuddin Al-Ayubi, Imam Hasan Al-Banna.

Ya Allah,hebat nama-nama yang disebut ini. Siapa mereka? Merekalah pemuda Islam yang telah mengubah dan mencorakkan dunia mengikut perspektif Islam yang tersendiri. Sungguh gilang gemilang catatan sejarah yang telah mereka ukirkan buat tatapan kita umat Islam khususnya pemuda Islam. Kehebatan mereka ini bukan terletak pada nama,pangkat, keturunan ataupun darjat tapi pada ke’intim’an mereka terhadap Allah swt dan RasulNya sehingga mereka bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan Islam hingga ke puncak kemuliaannya. Untuk apa? Tidak lain dan tidak bukan untuk memakmurkan bumi Allah ini dengan syariat dan kewajipan yang diturunkan Allah. Sungguh inilah jalan kejayaan sebenar buat mereka yang mahu menjejak kaki ke syurga bersama mereka.


Mereka bukan sekadar dikagumi oleh penduduk bumi, malah dipuji dan disanjung tinggi oleh penduduk langit. Mereka ini bukan pemuda yang dilahirkan dengan ciri anggota yang luarbiasa. Tapi segalanya sama dengan manusia lain.Mereka lahir dari salur rahim manusia juga. Mereka makan seperti manusia .Tiada yang berbeza dari manusia lain dari sudut kehidupan biasa.


Tapi ada beberapa perkara berbeza yang ada pada mereka tapi tidak ada pada kita kebanyakan pemuda Islam dizaman mutakhir ini. Apa yang saya senaraikan dibawah ini merupakan sifat dominan mereka yang saya dapati dari pembacaan yang ringkas tentang perjalanan hidup mereka :


1) Hidup bukan bermatlamat untuk mengejar pangkat,nama dan kedudukan tapi mengejar keredhaan Allah dalam setiap bidang yang mereka ceburi.

2) Mereka sangat takut dan berharap pada Allah dalam setiap pekerjaan yang mereka lakukan.

3) Mereka sentiasa mewujudkan atau mencipta suasana kehidupan mereka yang seringkali berbeza dengan orang lain.(penuh berdisiplin)

4) Mereka menggunakan setiap peluang dan bidang mereka untuk kuatkan Islam lebih dari mengutamakan kesenangan diri mereka sendiri.

5) Berhibur yang bukan cara Islam sangat mereka jauhi terutama hiburan yang melibatkan adanya kehadiran wanita samaada dalam bentuk muzik ataupun tarian. Malah jarang sekali kita dapat dengar mereka bercampur atau berinteraksi dengan wanita yang bukan isteri dengan kadar kekerapan yang tinggi.

6) Mereka sangat merendah diri dan hampir dengan orang yang lebih alim walaupun keilmuan mereka diakui melangkaui zaman.


Itulah antara sifat dominan mereka yang mengundang kejayaan bagi pemuda Islam. Maka mari teman-teman yang saya kasihi sekalian khususnya pemuda Islam sekalian kita sama-sama ikut jejak langkah mereka. Begitu juga para ibu bapa, guru-guru, abang-abang dan akak-akak sekalian, asuh dan didiklah anak-anak lelaki,adik-adik lelaki kalian dengan mencontohi ikon-ikon yang saya sebut di atas. Asuhlah diri pemuda cinta akhirat dan ceritakanlah padanya tentang tipuan dunia. Pasti dia akan gemilang!Wallahualam.

Thursday, November 12, 2009

Resah gelisah : Seimbangkah pekerjaan kita?



Aghh..!!Kenapa semua yang aku nak tak tercapai?!...Di satu sudut yang lain,"aku ni kenapa tak boleh hebat cam dia?!..Di tempat yang lain, ' Alahai..kenapa aku rasa cam kosong je hah.Nak kata kesenangan dan kemudahan aku dah cukup dah.Tapi nape cam ada yang tak kena ni"..."Hish..bosanla..tak tahu nak wat apa..buat itu tak kena buat ini tak kena, tido lagi bagus..eh,tak pun tengok movie la..eh,tapi dah semua movie aku tengok dah..Aghh..apa nak buat ni?!!...

Sekiranya kita perhatikan,hampir setiap dari kita pernah mengalami situasi sebegini.Senario yang dipetik ini merupakan sebahagian dari keadaan segelintir masyarakat kontemporari kini. Samaada golongan pelajar,suri rumah,pekerja kerajaan mahupun swasta,petani,remaja,dewasa serta yang telah lanjut umur pun mengalami perkara yang sama. Cuma lain orang lain caranya bagi mengubat keresahan jiwa yang menggila.

RESAH dan GELISAH..Ini topik yang seharusnya cuba kita fahami sejelas-jelasnya memandangkan ramai daripada kita hari ini hidup dalam keadaan suasana yang agak mencabar naluri dan perasaan jiwa hingga hati dahaga untuk mendapatkan 'nutrisi'nya.

Mari kita semak semula satu perkara penting yang harus kita perbaiki khususnya ummat Islam iaitulah keseimbangan antara PEKERJAAN DUNIA dan PEKERJAAN AKHIRAT. Disini perlu kita semua fahami bahawasanya kedua-dua pekerjaan ini saling berkait antara satu sama lain. Ianya tidak boleh berat sebelah. Kita tidak boleh hanya sekadar mementingkan pekerjaan dunia hingga mengabaikan pekerjaan akhirat.Begitu juga kita tidak boleh sekadar melakukan pekerjaan akhirat sahaja lalu mengabaikan pekerjaan dunia.

Pekerjaan akhirat yang dimaksudkan disini ialah sesuatu aktiviti khusus yang kita lakukan sebagai cara untuk mendidik hati untuk tunduk sepenuhnya pada Allah. Ia merangkumi hal-hal yang bersangkut paut dengan ibadah seperti solat fardhu,zikir,baca Al-quran, bermunajat dimalam hari,beristighfar,berdoa dan lain-lain lagi.Mudah katanya segala bentuk pekerjaan yang dapat mengfokuskan akal dan hati kita terus kepada kehebatan dan keagungan Allah berlandaskan sumber Al-quran dan Sunnah nabi saw dikategorikan sebagai pekerjaan akhirat.

Pekerjaan dunia pula ialah aktiviti yang kita lakukan sehari-hari bagi meneruskan kelangsungan hidup kita untuk beribadah di muka bumi Allah ini seperti bertani,berniaga,mendidik dan mengajar,meguruskan rumah tangga,meguruskan masyarakat mahupun negara. Ini semua tidak dapat tidak harus kita lakukan. Bagaimana mungkin kita boleh untuk melakukan pekerjaan akhirat dengan tenang dan sempurna sekiranya keperluan asas kita untuk hidup dimuka bumi Allah ini tergendala.

Berbalik kepada permasalahan resah dan gelisah. Apa yang saya cuba nak bawakan disini ialah sejauh mana saya dan anda semua telah menyeimbangkan kedua-dua pekerjaan yang disebutkan di atas tadi. Ramai orang yang kuat pekerjaan dunianya hingga terlupa dan terabai pekerjaan akhiratnya. Inilah faktor mengapa kita resah dan gelisah sebenarnya. Tuhan sedang berkomunikasi dengan kita dengan cara menjadikan kita resah gelisah supaya kita datang mencari DIA.Bagaimana untuk datang kepadaNYA? Ya, sudah tentu dengan menambah dan memperbaiki pekerjaan akhiratlah yang dapat mengubati keresahan jiwa kita. Lagi banyak dan sibuk kita terlibat dengan pekerjaan dunia sudah tentulah lagi banyak pekerjaan akhirat yang perlu kita tambah agar kedua-duanya sentiasa dalam keseimbangan. InsyaAllah,barulah hati kita akan tenang dan damai bahagia hidup di muka bumi Allah ini. Wallahua'lam

Saturday, October 31, 2009

Khusyuk punca kemenangan

Bila bercerita atau berbincang tentang masalah remaja terutama remaja Islam hari ini, pasti ada pihak yang saling tuding menuding dan salah menyalah. Sedih bila melihat keadaan remaja Islam hari ini. Suasana di akhir zaman ini banyak yang menyumbang kepada kerosakan dan kelemahan jati diri remaja Islam yang sebenar. Kunci kerosakan yang paling besar melanda remaja Islam hari ini ialah hiburan yang terlampau. Hiburan yang menjauhkan seseorang remaja itu jauh dari Allah. Tidak perlu disebut hiburan bagaimana yang dimaksudkan terlampau dari sudut Islam. Semua dari kita sudah sedia maklum.


Apa yang kita patut lakukan sebenarnya bagi menyelesaikan masalah yang semakin kronik hari ini? Tidak lain dan tidak bukan kita harus balik kepada cara rawatan yang paling mujarab yang telah tuhan kita berikan iaitu solat. Ya solatlah jalan penyelesaiannya pada segala masalah yang rumit ini. Semua dari kita harus berusaha memperbaiki mutu solat kita. Tahap khusyuk dan khuduk kita harus sentiasa diperbaiki. Belajarlah cara untuk khusyuk dari ulama’ yang amilin seperti imam ghazali bagaimana untuk khusyuk dalam solat melalui penulisannya ihya’ ulummiddin.

Kenapa kita perlu khusyuk dalam solat? Khusyuk atau lain katanya kehadiran hati yang tulus dan terus kepada Allah swt ini amat penting dalam membentuk jiwa yang merdeka. Ya merdeka dari cengkaman nafsu yang menggila. Nafsu yang merosakkan jiwa dan akhlak remaja. Nafsu yang ada pada manusia sekiranya tidak dididik untuk tunduk pada Allah swt melalui sifat khusyuk dan khuduk dalam solat pasti akan menjadikan pemiliknya hilang arah dan paling parah tidak dapat faham ilmu-ilmu Allah swt dalam Al-quran. Sebab itulah pemuda pemudi Islam hari ini tidak dapat mencedok mutiara hikmah dari Al-quran dan cuba di amalkan dalam hidup.

Semua pihak samaada pemimpin kerajaan, ibu bapa, guru mahupun masyarakat wajib perbaiki mutu solat masing-masing. Selagi kualiti solat kita tidak seperti kualiti solat Nabi saw dan para sahabat ra.,janganlah sibuk kita hendak salah menyalahkan orang lain. Bukankah Allah swt sudah sebut kejayaan adalah bersama orang yang khusyuk dalam solat. Pemimpin yang khusyuk akan cuba melaksanakan amar makruf nahi anilmunkar dalam pemerintahannya. Ibu bapa yang khusyuk akan menerapkan aspek nilai akhlak islam dalam mendidik anak mereka. Masyarakat yang khusyuk akan saling berpesan dengan kebaikan dan mencegah kemungkaran di kalangan rukun tetangga. Inilah yang dikatakan kejayaan. Kejayaan mendaulatkan kehidupan islam dalam hidup masing-masing. Maka insyaAllah masalah kronik remaja islam hari ini pasti akan dapat kita atasi. Ini kerana fitrah agama Allah itu sendiri, bilamana seseorang khusyuk dalam solat , dia akan mudah melaksanakan tuntutan agama yang lain seperti dakwah.

Kesimpulannya , saya menyeru kepada diri saya dan semua pembaca untuk kita sedar bahawa khusyuk dalam solat sangat penting.Jangan campurkan perhatian kita dalam solat dengan urusan dunia. Usaha hadirkan hati kepada Allah swt dengan sedaya mampu. InsyaAllah pasti Allah swt akan datangkan petunjukNya buat kita yang lemah ini dalam menyeleasaikan masalah harian kita. Wallahualam

Monday, October 26, 2009

Usahakanlah untuk akhiratmu.Dunia akan berlari kepadamu


Hidup adalah modal kehidupan yang abadi.Berbahagialah bagi mereka yang hidupnya hanya berbakti dan berbudi tulus ikhlas hanya untuk Ilahi,tuhan semesta maya pada ini. Tidak terkira banyaknya nikmat yang Allah swt telah kurniakan kepada sang hamba. Bermula dari sekecil-kecil nikmat sehinggalah sebesar-besar nikmat kurniaan, sedikit pun DIA tidak minta dibalas.Cukuplah sekadar memanjatkan rasa syukur kepadaNya dengan segala bentuk manisfetasi kehidupan samaada melalui perkataan, perbuatan serta tingkah laku kita seharian. Maha suci Engkau wahai tuhan yang maha Agung lagi maha Mulia.

Makhluk yang bernama manusia sering kali terlupa. Bila lupa,leka dengan dunia.Dirasanya dunia ini adalah segala-galanya. Hidup sehari-hari hanya mencari harta benda. Fikiran dan daya usaha sepenuhnya tertumpu pada kenikmatan yang sementara.Pernah Saidina Ali ra. berkata:


"Seseorang yang setiap hari hanya memikirkan tentang soal isi perutnya
sahaja, dirinya tidak ubah seperti apa yang keluar dari perutnya"



Dasyat perumpamaan yang Saidina Ali ra berikan kepada golongan yang leka dengan kehidupan dunia. Moga diri ini dan kita semua tidak tergolong dikalangan apa yang dimaksudkan oleh beliau.

Kita manusia yang dikurniakan nafsu tidak dapat tidak akan berlaku lalai terhadap tanggungjawab sebenar kita di dunia fana ini.Itu hakikat diri insan yang dikurnikan nafsu. Namun, untuk selamat di kehidupan yang akan datang kita perlu melakukan sesuatu dari sekarang.Usaha dan tindakan harus dikerahkan.Sepertimana bila kita hendak mengecapi sesuatu kejayaan didunia,kita akan meletakkan matlamat yang jelas,perancangan yang jitu dan yang paling penting kesungguhan untuk melaksanakan segala apa yang dirancang maka kejayaan pasti akan menjelma.

Begitu jugalah usaha kita terhadap akhirat.Kehidupan akhirat adalah pasti dan kekal abadi.Dua sahaja persimpangan buat kita samaada syurga atau neraka.Beruntung bagi yang berjaya meraih syurga. Sungguh dia telah mendapat kemenangan yang besar dari tuhannya. Dan amat rugilah bagi yang tercampak ke lembah neraka. Keperitan dan kesengsaraan di dalamnya walaupun seketika tak mampu digambarkan oleh akal dan minda kita.Naudzubillah. Kita perlu mula dari sekarang. Kerahkan usaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki mutu ibadah kita. Jika selama ini kualiti solat kita masih sama dengan solat ketika kita belum baligh, maka perbaikilah. Tingkatkan keiltizaman kita untuk sentiasa menunutut ilmu fardhu ain disamping tidak mengabaikan ilmu fardhu kifayah. Percayalah, bila kita ikhlas berusaha untuk akhirat kita maka dunia akan datang bergolek kepada kita sepertimana yang berlaku pada Rasullullah Saw dan para sahabat ra yang mulia.Wallahualam.

Saturday, August 1, 2009

Solusi 10 menyusul kini..




Sunnguh pantas masa berlalu,sedar tak sedar telah banyak keluaran solusi telah terbit di pasaran..sambutannya juga tidak kurang hebatnya di kalangan masyarakat kini yang dahagakan 'solusi' pada setiap persoalan kehidupan ini.Syukur pada Allah s.wt.t,di saat ramai manusia sibuk merancakkan hiburan yang melekakan dari mengingatiNYA,DIA izinkan dan memperkuatkan usaha kolompok kecil yang masih cintakan Islam.Tahniah kepada TELAGA BIRU SDN BHD atas usaha yang murni ini.Sangat besar sumbangan mereka dalam memurnikan semula kehidupan masyarakat Islam yang semakin lemah ini.

Wednesday, July 15, 2009

Optimistik itu PENTING.......

Seringkali kita mendengar orang menyebut hidup ini suatu permainan,hidup ini ibarat pentas lakonan,hidup ini penuh cabaran dan bermacam-macam lagi perumpamaan yang bisa diberikan bagi mentamsilkan keadaan hidup manusia di muka bumi ini mengikut perspektif masing-masing yang berbeza. Walau apapun tamsilan yang cuba diberikan, perlu disedari bahawa satu hakikat yang mesti kita terima iaitu dunia ini bukan milik kita.

Dunia yang kita duduki kini bukanlah hak mutlak kita sebagai manusia. Kita hanya menumpang dan mengurus sahaja dunia ini mengikut kehendak tuan pemilik dunia ini.Kita hanya mampu berusaha sedaya mampu mengikut kemampuan diri dan kudrat kita. Pun begitu,usaha itu sendiri bukanlah mesti wajib menghasilkan hasil yang kita kehendaki. Sesuatu usaha dan ikhtiar itu masih tetap terikat dengan keizinan Allah samaada DIA izinkan berlaku mengikut kehendak kita ataupun menghendaki hasil yang sebaliknya.


Dalam menempuh onar kehidupan ini,tidak kira bidang apa pun yang kita ceburi samaada pelajaran,pekerjaan,menguruskan rumah tangga,menguruskan negara,menjadi pemimpin masyarakat hatta suri rumah pun semuanya pasti tak lari dari kesulitan dan kepayahan. Kadang-kadang kesulitan itu sangat memeritkan dan meruntuh jiwa. Hatilah yang menanggung perit itu. Seolah-olah dihiris dan ditusuk dengan pisau yang tajam . Sangat pedih hati itu menanggungnya.Terlalu pedih!Kepedihan itu jika terlampau menyebabkan seseorang itu cuba nak melakukan sesuatu perkara di luar batas normal yang membolehkan dia menghilangkan tekanan itu.Itu yang bahaya sebenarnya.

Sememangnya setiap manusia inginkan kejayaan dalam hidup ini.Seseorang itu dikatakan gila sekiranya dia menginginkan kegagalan dalam hidupnya.Tapi ramai yang terlalu kecewa bilamana apa yang dikehendaki tidak tercapai.Sebagai contoh sebagai pelajar,mungkin ada sebahagiannya mencapai ‘pointer’ yang rendah dalam peperiksaan semester. Dalam kuliahnya mungkin dia antara yang paling rendah tahap pencapaian dikalangan pelajar lain. Paling teruk lagi dia terpaksa mengambil semula subjek tertentu kerana dalam slip keputusannya tercatat kalimah keramat yang cukup mengerikan iaitu ‘fail’ ataupun ‘repeat’ pada subjek tersebut. Rasa macam nak lari sahaja dari realiti itu.

Mari kita singkap sejenak orang yang hidupnya berulang kali merasai gagal kemudian bangkit menjadi manusia yang hebat. Thomas Edison,menemui kegagalan sebanyak 999 kali untuk hasilkan mentol pertama dalam sejarah.Selepas percubaannya kali yang ke-1000 barulah dia berjaya hasilkan mentol pertama. Ramai kawan dan sahabat handainya memperlekehkan usahanya itu. Tapi disebabkan keyakinan yang tak berbelah bahagi menyebabkan dia berjaya meletakkan namanya sebaris antara tokoh saintis hebat di dunia.

Disini mari kita lihat latar hidup seorang tokoh pemimpin yang paling berpengaruh sepanjang zaman, Muhammad Bin Abdullah. Insan mulia yang cukup sederhana hidupnya.Sangat dihormati sahabat dan disayangi taulan.Tingkah lakunya sangat halus dan indah bagi setiap mata yang memandang.Sehingga kini nama dan jasanya sering dikenang dan disebut-sebut walaupun sudah lama meninggalkan persinggahan dunia ini.Pengikutnya diseluruh dunia telah menjangkau 1/3 dunia. Tapi adakah perjuangannya mudah?Adakah baginda tidak merasa peritnya bila sesuatu yang dihajati itu tak tercapai? Sudah tentu jauh lebih hebat ujian baginda.Lagi besar sesuatu kejayaan lagi berat keperitan yang perlu ditanggung.


Jadi, kunci sesuatu kejayaan itu ialah optimistik.Ya..kita mesti optimis dalam apa sahaja yang kita usahakan.Kita mesti optimis bahawa kegagalan yang berturut-turut pasti dihujungnya ada kejayaan yang sedang menunggu.Cuma kita sendiri harus kuatkan keyakinan dan motivasi untuk terus melangkah menuju ke garisan kejayaan itu.Insyaallah..Jangan terkejut jika suatu hari nanti anda menjadi pemimpin nombor satu negara disebabkan anda OPTIMIS...

Tuesday, July 7, 2009

Solusi 9 dah keluar!




Sungguh pantas masa berlalu..sedar tak sedar 'solusi' kini telah terbit edisi yang ke-9.Dengan tajukye yang sangat tepat dengan kehendak ummat masa kini sememangnya memberi sumbangan yang bukan sedikit nilainya kepada pembangunan ummat ini.

Tajuk 'solusi' kali ini sungguh menarik.'Celik Mata Hati'..itulah tajuk majalah ini untuk edisi kali ini. Sedikit pandangan saya tentang topik ini. Antara sebab mengapa ramai insan pada hari ini resah gelisah, merasakan tidak cukup walaupun harta dan aset melimpah, saling bermusuhan,menggunakan akal semata-mata tanpa peduli hukum-hukum tuhan dalam meniti hidup sebagai hamba yang lemah serta menjadikan dunia sebagai matlamat utama adalah kerana butanya mata hati.

Mata hati yang buta tidak nampak kebenaran. Malap dari sinar taufik dari tuhan.
Dia meniti hidup dengan teraba-raba mencari arah hidup. Sekejap ke kanan sekejap ke kiri.Hati sebegini tak dapat merasakan hakikat sebenar alam ini dijadikan.Hati ini tak dapat nak rasa penyayangnya Allah pd hambaNya,tak dapat nak rasa seronoknya beribadah padanNya.

Hati yang buta perlulah dicelikkan dengan usaha yang bersungguh-sungguh tanpa jemu dan putus asa. Hati perlu sentiasa di 'polish' dengan ilmu dan zikir. Hadirkanlah diri ke majlis ilmu yang dapat menambah pengetahuan kita tentang tuhan kita.Bertanyalah dengan orang yang alim tentang urusan agama ini. Seterusnya didiklah hati untuk berzikir mengingati tuhan. Bagi pelajar sains kesihatan seperti medic,dentist,pharmacy,opto n others, kalian sangat beruntung kerana dapat pelajari tentang struktur rumit macroorganism dan microorganism dalam pengajian kalian. Sebagai contoh subjek anatomi dan physiology, kita akan dapati betapa unik dan cantiknya Allah uruskan fungsi badan manusia.Belajarlah subjek ini dengan mata hati yang terbuka.Cuba kenang jasa Tuhan yang mencipta setiap sesuatu dengan sungguh teratur..

Moga kehidupan kita ini terisi dengan amalan kebajikan yang berterusan hingga akhir hayat kita.